Monday, December 21, 2009

Apakah Erti Pelincir Untuk Motosikal!

Salam pemabaca yang saya hormati sekelian.
Maaf kerana agak lama tidak melakukan ‘post’ terkini di blog Dunia Permotoran ini. Oh Ya!Sebenarnya saya agak sibuk dengan kerja-kerja off line yang memenatkan. Sehinggakan nak update blog kesayangan saya ni tidak kesampaian. Bukan itu saja forum MBC pun tak sempat saya nak jengok.. hu..hu..hu.. Baiklah pada artikel kali ini saya ingin berkongsi pengetahuan dan pengalaman untuk kita sama-sama mengenali dan memahami serba sedikit mengenai pelincir motosikal.

Pernahkah kita terfikir kegunaan minyak pelincir kepada motosikal anda. Apakah akan berlaku sekiranya pelincir motosikal anda tidak diberi perhatian. Saya pernah mengalami kekejangan enjin dipertengahan lebuh raya utara selatan iaitu dari Melaka ke Kuala Lumpur. Kejadian berlaku pada waktu malam. Memang ‘kacau’ beb… tapi nasib baik telefon bimbit boleh buat panggilan pada ketika itu. Saya terus menghubungi bantuan dari Melaka.Syukur selamat!Motor saya ketika itu kekeringan minyak 2T. Baik kita tinggalkan kisah saya ni dan kita berkongsi info berkaitan pelincir secara asasnya.

Pelincir motosikal atau minyak enjin sangat penting ibarat manusia dan air di dalam badan kalau kurang air maka sakitlah manusia tersebut. Begitu juga dengan motosikal berbagai masalah jangka pendek dan jangka panjang boleh berlaku kepada motosikal anda.

Apakah erti minyak enjin?

Minyak enjin merupakan pelincir yang diperlukan oleh enjin motosikal anda bagi melincirkan semua komponen utama dalam enjin seperti bearing, omboh, silinder, aci sesondol, aci engkol, rod tunjal, gear-gear, valve daripada bergesel dengan kasar. Kesan dari geseran ini akan menghasilkan haba malah menghakis komponen sedikit demi sedikit dan paling teruk enjin terus kaku dan kejang. Sebab itulah pentingnya minyak enjin bagi mengelakkan pekara-perkara seperti ini berlaku.

Fungsi pelincir membolehkan enjin bergerak dengan lancar di mana ianya bertidak seperti lapisan filem minyak menyaluti komponen-komponen berkenaan supaya menjadi pelindung kepada geseran seterusnya mengelakkan darpada kekejangan.

Pelincir juga bertidak sebagai agen mengnyah haba. Apabila haba yang dihasilkan oleh enjin turut memanaskan minyak pelincir tersebut. Minyak pelincir juga menjadi bertambah cair dan pam pelincir akan menggerakkan minyak tersebut keseluruh bahagian enjin motosikal. Pergerakan ini berlaku dari bahagian yang panas ke tangki penakung atau radiator minyak dan dialirkan semula ke dalam enjin.

Tegasnya di sini semakin besar saiz sesuatu enjin maka semakin laju ia berputar dan semakin banyak haba yang dihasilkan. Enjin yang semakin padat turut sukar untuk memindahkan haba dengan lebih efisien.Maka dengan sebab itu keperluan minyak pelincir yang berkualiti tinggi amat diperlukan.

Ciri pelincir yang baik antaranya ialah dapat bertahan pada suhu tinggi, tidak mudah cair dan tidak terlalu likat apabila suhu sejuk.

Seperkara yang amat perlu dititik beratkan iaitu pengguna-pengguna motosikal seharusnya faham akan perbezaan minyak pelincir kereta dan motosikal. Seperti mana yang kita maklum kebanyakan motosikal kapasiti di bawah 150cc di negara kita mempunyai kombinasi enjin dan gearbox ‘disatukan’. Maksudnya enjin dan gearbox menggunakan minyak pelincir yang sama. Tidak seperti kereta atau motosikal berkuasa besar di mana enjin dan gearbox tidak ‘disatukan’ maka sebab itulah enjin jenis ini mempunyai keperluan minyak yang berbeza iaitu minyak enjin hanya untuk enjin dan begitu juga gearbox.

Ramai di antara kita tidak memahami erti sebenar perlindungan yang dimaksudkan lantas tidak mempedulikan perbezaan minyak enjin kereta dan motosikal mereka dengan menganggap penggunaan minyak enjin kereta sama sahaja untuk motosikal. Ya!.. memang kesan jangka pendek tidak nampak tapi awas…. untuk jangka panjang.

Maksudnya minyak enjin motosikal memberikan perlindungan keseluruhan di dalam enjin termasuklah sistem transmisi dan klac. Lihat betapa besarnya tugas minyak enjin motosikal dan sudah tentu pelincir yang berkualiti amat diperlukan. Inilah ciri-ciri tambahan yang sedia ada pada sesebuah pelincir motosikal berbanding dengan pelincir kereta.

Bagi enjin dua lejang pula tugas minyak pelincir menjadi lebih berat dan sukar. Ia diperlukan untuk melindungi komponen yang berada di dalam silinder motosikal termasuklah bearing rod, piston, gelang piston serta komponen lain yang perlu dilindungi bagi mengelakkan berlaku kekejangan pada enjin akibat lebihan panas yang terhasil. Pelincir yang biasa dipanggil minyak 2T ini perlu dicampurkan dengan petrol dan dibakar bersama di dalam kebuk pembakaran. Akibat dari pembakaran yang tidak sempurna ini sisa-sisa mnyak yang tidak terbakar sepenuhnya akan menjadi endapan di dalam silinder dan juga sistem ekzos. Oleh itu motosikal jenis dua lejang amat memerlukan pelincir yang mudah terbakar bagi mengelakkan terlalu banyak endapan yang berlaku.

Berbagai kesan buruk boleh berlaku akibat endapan karbon yang terlalu banyak di dalam enjin. Antaranya kehilangan kuasa pecutan di sebabkan sistem ekzos diselaputi karbon yang tebal. Motosikal menjadi sukar dihidupkan dan juga meningkatkan geseran di dalam silinder. Kesannya motosikal menjadi ‘berat’ haba sukar dipindahkan. Lebih buruk lagi jika blok enjin tidak diservis mengikut jadual boleh menyebabkan berlaku kekejangan atau ‘jam’

Baiklah saya rasa setakat ini dulu perbincangan sebagai pengenalan kepada minyak pelincir. Pada post yang akan datang saya akan huraikan serba sedikit mengenai komponen-komponen yang terkandung di dalam minyak 4T dan 2T dan bagaimana ia dihasilkan.

Sekian

Wira Duniamoto

http://duniamoto.com/permotoran/apakah-erti-pelincir-untuk-motosikal/